"Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail terpilih menerima Anugerah Tokoh Srikandi Negara atas ketokohan dan karisma beliau dalam dunia pendidikan."

susah23uili

KUALA LUMPUR, 20 Julai 2018 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail terpilih menerima Anugerah Tokoh Srikandi Negara atas ketokohan dan karisma beliau dalam dunia pendidikan.

Anugerah Tokoh Srikandi Negara mengiktiraf jasa dan sumbangan golongan wanita terhadap pembangunan Malaysia dalam pelbagai lapangan di dalam mahupun di luar negara, dianjurkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (GPMS). Ini merupakan kali kedua ia dianjurkan selepas kali pertama pada 2014.

Majlis berprestij bergelar Malam Semarak Perjuangan bersempena sambutan ulang tahun ke-70 GPMS itu dimeriahkan dengan keberangkatan Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Baginda bertitah, sudah 61 tahun negara mencapai kemerdekaan dan landskapnya secara fizikal, sosial, ekonomi dan politik juga telah berubah yang mana ia turut menuntut bangsa berani melakukan perubahan.

hjsdvfh

"Bangsa Melayu yang mahu maju dan dihormati hendaklah terdiri daripada bangsa yang berani berminda terbuka, berminda merdeka dan tidak membenarkan dirinya menjadi hamba kepada kekayaan material," titah baginda.

Yang hadir sama ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali yang juga antara pengasas GPMS dan Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa.

Asma pula ketika ditemubual memberikan semangat kepada setiap wanita di luar untuk berani menonjolkan kemampuan mereka dan sentiasa melakukan sesuatu dengan komited.Katanya, wanita boleh menyerlahkan kemampuan luar biasa mereka dalam apa jua perkara yang mereka lakukan mahupun ceburi, baik jika berkerjaya mahupun sebagai suri rumahtangga.

Selain Asma, tokoh termasuk pengasas organisasi kemanusiaan Mercy Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood; pakar motivasi, Datuk Profesor Dr. Muhaya Mohamad dan ratu bowling negara, Shalin Zulkifli turut mendapat pengiktirafan sama, mengikut bidang masing-masing.

Penerima Anugerah Tokoh Srikandi 2018

  1. Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail - Kategori Pendidikan
  2. Pengasas Mercy Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood - Kategori Kemasyarakatan
  3. Pengkaji seni budaya, Profesor Siti Zainon Ismail - Kategori Kesenian
  4. Ketua Pegawai Warga Kerja Kumpulan CIMB Bank, Dato’ Hamidah Naziadin - Kategori Kewangan
  5. Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner - Kategori Pentadbiran Awam
  6. Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akauntan Malaysia, Dr. Nurmazilah Mahzan - Kategori Profesional
  7. Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Datuk Farshila Emran - Kategori Korporat
  8. Ketua Pegawai Eksekutif Exim Bank Malaysia, Norzilah Mohammed - Kategori Perbankan
  9. Pemain boling profesional, Shalin Zulkifli - Kategori Sukan
  10. Perunding Kanan Kardiologi IJN, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Robaayah Zambahari - Kategori Perubatan
  11. Pengarah Pusat Perubatan Prince Court Pusat Lasik Mata, Datuk Profesor Dr. Muhaya Mohamad - Kategori Dakwah dan Islamiah
  12. Pengarah Akademi Sains Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Mazlan Othman - Kategori Sains.
  13.  

Teks: Marziana Mohamed Alias & Tan Ewe Hoe

Source: https://news.usm.my/index.php/berita-mutakhir/5841-profesor-datuk-dr-asma-ismail-penerima-anugerah-tokoh-srikandi-negara

Di muat naik oleh: Muhammad Nor (USAINS)

25/07/2018